Selasa, 15 November 2011

Punca Fibroid tidak diketahui

Berita Harian
Khamis, 24/01/2008
(Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof)

Wanita terpaksa buang rahim jika ketumbuhan terlalu besar sebabkan banyak pendarahan.

KITA biasa mendengar mengenai penyakit barah payu dara atau barah pangkal rahim yang sinonim dengan wanita, tetapi perkataan fibroid masih agak asing didengari. Setiap wanita berpotensi mengalami masalah fibroid, cuma bezanya sama ada ia mendatangkan masalah atau sebaliknya banyak berpihak kepada tuah.

Bagaimanapun, pengalaman beberapa wanita yang dikesan mempunyai ketumbuhan berkenaan sehingga terpaksa membuang rahim pasti menimbulkan kebimbangan di kalangan wanita hari ini.
Satu kajian menunjukkan seramai 25 peratus wanita akan merasa kesan daripada kehadiran fibroid. Kajian juga menunjukkan fibroid kerap berlaku pada wanita yang menjangkau umur 40-an ke atas, tetapi sejak kebelakangan ini semakin ramai muda yang dikesan mengalaminya.

Pakar Sakit Puan dan Perbidanan, Dr Ani Amelia Zainuddin, berkata sehingga kini punca sebenar yang menyebabkan kehadiran fibroid dalam rahim masih tidak diketahui.

Katanya, walaupun ada yang mengaitkan fibroid dengan wanita yang lambat berkahwin ataupun tidak beranak ramai, tetapi berdasarkan pengalamannya ada juga wanita yang beranak tiga atau empat dikesan menghidap ketumbuhan berkenaan.
"Ketumbuhan fibroid mungkin juga berlaku akibat ketidakseimbangan hormon wanita iaitu estrogen dan progesteron. Bagaimanapun, ketumbuhan fibroid ini tidak ada kaitan dengan pemakanan seseorang wanita ataupun jangkitan kuman," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Katanya, sungguhpun pernah mendengar mengenai kaitan fibroid dengan penggunaan pil perancang, kajian mengenai risiko ketumbuhan fibroid akibat penggunaan pil perancang tidak begitu banyak dilakukan dan kadangkala keputusan kajian berkenaan juga bercanggah.

"Ada yang menyatakan risiko ketumbuhan fibroid meningkat dengan penggunaan pil perancang yang lama, ada juga yang menyatakan sebaliknya. Kajian yang diterbitkan oleh British Journal of Obstetrics & Gynaecology pada 1999 oleh penyelidik di Itali menunjukkan tidak ada sebarang kaitan antara ketumbuhan fibroid dan penggunaan pil perancang.

"Malah wanita yang sedang menggunakan pil perancang dikatakan berisiko rendah untuk mengalami masalah ini. Mereka menunjukkan yang tempoh penggunaan pil perancang lebih lama menyebabkan lebih rendah risiko ketumbuhan fibroid. Ada juga wanita yang bujang dan tidak mengambil pil perancang, tetapi mendapat fibroid. Justeru saya berpendapat wanita yang mengguna pil perancang tidak perlu khuatir mungkin mengalami ketumbuhan ini," katanya. Beliau berkata, fibroid yang dikesan awal boleh diubati dengan pelbagai kaedah seperti mengambil ubat oral dan tidak semestinya berakhir dengan pembuangan rahim semata-mata.

Berdasarkan beberapa kes yang ditemui ada fibroid membesar sehingga mencecah berat lima kilogram, tetapi ada juga wanita yang mempunyai fibroid kecil dan tidak menyebabkan sebarang masalah ataupun gangguan ke atas kesihatannya.

Antara gejala yang menunjukkan seseorang itu mengalami fibroid termasuklah gangguan haid, masalah kemandulan, senggugut, kerap keguguran, sakit pada bahagian belakang dan jika hamil, wanita yang mempunyai fibroid, berisiko mengalami kelahiran tidak cukup bulan dan pendarahan yang berlebihan selepas melahirkan anak.

Beliau berkata, rawatan fibroid bergantung kepada lokasi ketumbuhan itu pada rahim, bilangan dan saiznya. Selain itu, beberapa perkara perlu diambil kira termasuk umur wanita berkenaan dan keinginannya untuk mengandung lagi, selain kemudahan serta kepakaran yang ada di hospital dikunjungi wanita terbabit.

"Jika wanita yang ada fibroid itu tidak mengalami sebarang gejala teruk dan fibroidnya kecil serta sedikit, wanita itu tidak perlukan rawatan seperti ubat atau pembedahan. Lebih-lebih lagi jika wanita itu menjangkau usia 50 tahun, apabila bakal melalui menopaus. Pada waktu ini, mereka sedang mengalami kekurangan hormon estrogen dan ini boleh menyebabkan fibroid mengecut apabila rahimnya mengalami atrofi atau penyusutan otot.

"Dalam keadaan ini, doktor selalu akan menasihatkan wanita itu supaya berjumpa dengannya secara berkala untuk melihat sama ada wanita itu mula mengalami gejala dan melakukan pemeriksaan imbasan ultra untuk mengkaji tumbesaran fibroid," katanya.

Bagaimanapun, katanya, rawatan perubatan kurang berkesan kerana ia hanya mengurangkan pendarahan saja, tetapi tidak menjejaskan ketumbuhan fibroid itu. Malah, sesetengah wanita akan mengalami kesan sampingan daripada pengambilan ubat itu sehingga menyebabkan sukar meneruskan penggunaannya untuk jangka masa yang panjang.

Katanya, rawatan fibroid lebih berkesan jika membabitkan pembedahan sama ada pembuangan fibroid saja (myomektomi) ataupun pembuangan rahim (histerektomi). Begitu pun, myomektomi lazimnya dilakukan pada wanita yang masih muda ataupun yang masih ingin mempunyai anak, manakala histerektomi pula dilakukan kepada wanita yang sudah menjangkau umur lewat 40-an dan tidak bercadang untuk hamil lagi.

"Myomektomi boleh dilakukan melalui laparotomi ataupun laparoskopi. Laparotomi membabitkan pemotongan kulit yang besar pada bahagian pelvis, manakala laparoskopi membabitkan potongan kecil di dalam pusat dan pada bahagian pelvis. Kedua-dua jenis pembedahan menggunakan alat yang khusus, membabitkan kepakaran tertentu dan bergantung kepada keadaan fibroid.

"Pembuangan submucosal fibroid juga boleh dilakukan secara histeroskopi iaitu pembuangan melalui faraj dan ini tidak memerlukan sebarang pemotongan kulit pada pelvis wanita. Histerektomi pula dilakukan secara laparotomi, laparoskopi dan vaginal iaitu melalui faraj. Pembedahan laparoskopi dan vaginal dilakukan jika rahim dan fibroid wanita itu kecil dan senang dikeluarkan melalui faraj dan juga memerlukan kepakaran tertentu," katanya.

Selain pembedahan, rawatan ubat secara suntikan digelar gonadotropin releasing hormone analog (GnRHa) sebulan sekali selama tiga atau empat bulan akan diberikan sebelum menjalani pembedahan apabila fibroid wanita itu besar dan menyebabkan pendarahan yang banyak.

Ubat berkenaan berperanan mengecutkan saiz fibroid dan juga menyebabkan wanita itu mengalami menopaus sementara. Sungguhpun begitu, ubat ini tidak boleh digunakan untuk jangka masa yang panjang dan hanya boleh diberikan jika hendak melakukan pembedahan kerana kesan sampingannya boleh memudaratkan pesakit.

"Lazimnya pembuangan rahim akan dilakukan apabila berlaku gangguan haid yang membabitkan pendarahan banyak dan berpanjangan. Akibatnya wanita berkenaan mengalami kekurangan darah yang ketara iaitu anaemia. Pesakit boleh menjadi lesu, tidak bertenaga dan kelihatan pucat. Wanita itu mungkin perlu menjalani pemindahan darah. Ada kalanya keadaan ini boleh berulang dan menjejaskan kesihatan dan kehidupan wanita berkenaan.

"Pembedahan pembuangan rahim boleh dilakukan apabila fibroid yang besar menekan pundi kencing wanita dan ia terletak pula di hadapan rahimnya. Ini boleh menyebabkan wanita berkenaan mengalami masalah kencing seperti kerap kencing, susah mengawal kencing ataupun sukar untuk kencing sama sekali, walaupun pundi air kencingnya penuh. Keadaan ini amat menyakitkan dan doktor terpaksa memasukkan tiub kencing untuk melegakan pesakit," katanya.

Selain itu, ada fibroid tumbuh pada bahagian belakang rahim yang boleh menyebabkan penekanan ke atas usus besar sekali gus menjadi punca kepada sembelit dan keadaan itu juga boleh menyebabkan wanita merasa sakit belakang yang berpanjangan, manakala jika fibroid menekan saluran darah wanita di dalam rongga pelvisnya pula, boleh mengakibatkan kaki wanita itu membengkak.

Beliau berkata, fibroid boleh dianggap tidak menyenangkan pesakit apabila ia mengakibatkan kekenduran pada rahim atau uterine prolapse, ataupun submucosal fibroid prolaps, apabila keluar daripada bahagian faraj seseorang wanita itu.

Bagaimanapun, katanya, wanita hamil yang disahkan mempunyai fibroid tidak perlu bimbang kerana dalam kebanyakan kes ketumbuhan berkenaan akan mengecil sejajar pembesaran janin, dan hanya akan dibuang (bila perlu) selepas bersalin.


Prosedur terkini rawat pesakit

ANTARA rawatan terkini bagi fibroid ialah Uterine Artery Embolisation (UAE) yang lazimnya dilakukan oleh pakar radiologi dan dibantu pakar sakit puan. Ketika menjalani rawatan itu pesakit akan diberikan ubat tidur.

Prosedur UAE itu membabitkan kemasukan tiub angiography ke dalam saluran darah wanita pada bahagian femoral di pelvisnya dan terus dimasukkan ke dalam saluran darah rahim atau uterine artery wanita itu. Kemudian sesuatu partikel yakni ???polyvinyl alcohol particles' akan dimasukkan melalui tiub angiography ke dalam saluran darah sehingga pendarahan faraj berhenti.

"Menurut kajian, prosedur ini menyebabkan pengecutan rahim dan fibroid sebanyak 30 hingga 60 peratus, serta menghilangkan gejala pendarahan sebanyak 80 peratus. Bagaimanapun, ada kes wanita yang mengalami kesakitan, jangkitan kuman dan premature menopause iaitu menopos yang terlalu awal akibat prosedur itu. Prosedur ini dilakukan di beberapa hospital di Malaysia saja.

"Prosedur baru yang lain termasuklah penggunaan laser secara laparoskopi ataupun dengan penggunaan magentic resonance imaging (MRI), dan penggunaan pancaran intensity tinggi ultrasound untuk mengecutkan fibroid. Bagaimanapun, prosedur ini masih di dalam penyelidikan dan tidak dipraktikkan secara rutin," katanya.


FAKTA: Fibroid
  • Fibroid ialah ketumbuhan di lapisan otot rahim seseorang wanita.
  • Fibroid atau nama latinnya leiomyomata adalah ketumbuhan bahagian reproduktif wanita yang bersifat benigna atau bukan barah paling lazim berlaku.
  • Punca fibroid masih tidak diketahui.
  • Terbahagi kepada tiga jenis utama:
    • Fibriod submucosal fibroid - fibroid yang menonjol ke bahagian dalam lapisan endometrium;
    • Intramural fibroid - fibroid yang membesar pada bahagian tengah yakni lapisan myometrium.
    • Subserosal fibroid pula adalah fibroid yang menonjol keluar daripada bahagian serosa.
  • Rahim wanita terdiri daripada tiga lapisan iaitu lapisan dalam yang digelar lapisan endometrium, lapisan bahagian tengah adalah lapisan otot yang dipanggil sebagai myometrium, manakala lapisan luar adalah lapisan serosa. Ketumbuhan fibriod lazimnya berlaku pada lapisan myometrium.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Click Me!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...