Jumaat, 09/01/2009
Agen Antipenuaan Dalam Kacip Fatimah
KUALA LUMPUR 8 Jan. - Hasil kajian dua penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Dongguk, Seoul, Korea mendapati herba kacip fatimah mempunyai nilai komersial yang tinggi berikutan penemuan agen anti-penuaan dalam tumbuhan itu.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr Zaini Ujang, agen anti-penuaan dalam tumbuhan herba itu yang ditemui dalm kajian Profesor Dr. Mohamad Roji Sarmidi dan Prof. Dr. Chan Seo Park itu boleh digunakan untuk produk kosmetik.
Sebelum ini katanya, Kacip Fatimah hanya digunakan untuk kesihatan dalaman wanita seperti memberi tenaga tambahan, menstabilkan hormon wanita dan melancarkan perjalanan darah.
"Kajian ini adalah yang pertama direkodkan mengenai tumbuhan herba ini terhadap kulit dan analisis mendapati ekstrak daripada tumbuhan itu ternyata amat tinggi nilainya sebagai agen anti-penuaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu jelasnya, kajian makmal juga menunjukkan ekstrak Kacip Fatimah berupaya menghasilkan kolagen untuk mengatasi kerosakan kulit akibat pendedahan kepada sinar ultra-ungu.
Beliau memberitahu, kajian itu juga mendapati sesetengah ekstrak herba itu berupaya bertindak sebagai agen antiradang ke atas sel kulit di samping mengandungi agen pemutihan.
Menurut beliau, hasil daripada penemuan itu, UTM telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Dongguk pada November lalu.
Ditanya mengapa kerjasama itu dilakukan dengan Universiti Dongguk, Zaimi memberitahu, universiti tersebut mempunyai makmal mengkaji kemujaraban sesuatu penemuan sementara UTM mempunyai kelengkapan penyelidikan berharga RM 50 juta.
"Kita hanya akan menjual bahan-bahan mentah (ekstrak) Kacip Fatimah yang berharga dalam lingkungan RM 1,000 sebotol kecil dalam bentuk cecair dan serbuk kepada yang memerlukannya," jelasnya.
Dalam pada itu katanya, walaupun mendapat permintaan daripada beberapa pihak dari luar negara namun UTM masih mengutamakan untuk menjual ekstrak herba itu kepada pengusaha tempatan.
Beliau juga memberitahu kajian ke atas Kacip Fatimah telah dilakukan sejak tahun 2007 oleh Loji Pandu Kejuruteraan Kimia (CEPP) UTM dan Jabatan Kimia dan Kejurutaan Biokimia, Universiti Dongguk.
Sementara itu Prof. Madya Chang Seo Park berkata, penemuan tersebut dijangka mendapat perhatian pembuat produk kosmetik pada persidangan Kosmetik yang diadakan di Yokohama, Jepun Mac depan.
Beliau berkata, selama ini pembuat produk kosmetik sentiasa mencari bahan baru untuk agen anti-penuaan yang tidak memberi kesan sampingan kepada pengguna.
Menurutnya Kacip Fatimah yang telah digunakan oleh wanita melayu sejak 400 tahun lalu didapati mujarab dan selamat digunakan untuk kulit.
"Tumbuhan ini saya anggap unik dan penemuan terbaru terhadapnya dijangka mendapat perhatian dan sambutan daripada kalangan pembuat produk kosmetik peringkat antarabangsa," tegasnya.
Sebelum berhijrah ke Universiti Dongguk, Seo Park pernah bekerja di syarikat Toosan Cosmetics di Korea dan merupakan seorang pakar dalam bidang farmaseutikal pada 1995.

P/s:- Info diambil dari FB kak salmi rafiza..terima kasih kak.
0 ulasan:
Catat Ulasan